Sarung Cincin – Made With PosterMyWall

Ada beberapa nasihat yang boleh diambil sebagai tips buat yang bakal atau telah mendirikan rumahtangga daripada salafusoleh, antaranya:

  1. Nasihat Para Sahabat.
  2. Nasihat Ummu Hakim.
  3. Nasihat Abdullah Bin Jaafar.
  4. Nasihat Bapa Saudara Baginda.
  5. Nasihat Abu Darda’.

Nasihat Para Sahabat

Anas RA mengatakan: Setelah menghantar pengantin perempuan kepada pengantin lelaki, para sahabat Nabi berpesan kepada pengantin perempuan supaya melayani suaminya dan menjaga hak-haknya dengan baik.

Nasihat Ummu Hakim

Pesanan Ummu Hakim kepada puterinya pada malam pertama perkahwinannya sebagaimana berikut:

Anakku, engkau akan meninggalkan suasana tempat engkau dilahirkan, engkau akan meninggalkan sarang tempat engkau dibesarkan dan berpindah ke sarang lain yang belum pernah engkau kenal. Engkau memperoleh teman hidup yang belum bisa menemanimu. Ia menjadi berkuasa ke atas dirimu dan menjaga kehidupanmu. Oleh kerana itu, hendaklah engkau dapat menempatkan dirimu sebagai hamba sahaya baginya dan dengan demikian, ia akan menjadi budak bagimu. Anakku, perhatikanlah beberapa sifat utama yang ku pesankan kepadamu kerana hal itu akan menjadi bekal atau simpanan yang baik bagimu

  1. Temanilah suamimu dengan cara hidup bersederhana, merasa cukup dengan apa yang ada, dan bergaullah dengan baik dan patuh.
  2. Jagalah dirimu di hadapan mata dan hidungnya agar engkau tidak kelihatan buruk pada pandangannya, dan jangan sampai ia mencium bau yang tidak sedap dari badanmu. Bercelaklah kerana celak merupakan hiasan terbaik, minyak yang tidak kau punyai.
  3. Perhatikanlah juga waktu makan suamimu dan jagalah ketenangan di waktu tidur kerana rasa lapar dapat menimbulkan kemarahan dan tidur yang terganggu boleh juga membangkitkan kemarahan.
  4. Jagalah keamanan rumahtangga dan keselamatan harta serta peliharalah kehormatan suamimu dan hormatilah anggota keluarganya kerana dengan menjaga keselamatan harta benda, engkau akan mendapat penghargaan dan perhatian yang baik.
  5. Jangan sesekali engkau membicarakan rahsia suamimu dengan orang lain dan jangan pula menyebarkan rahsianya, engkau tidak akan jujur terhadap dirimu, dan jika engkau menentang perintahnya, ia akan marah padamu.
  6. Janganlah engkau gembira di saat ia sedang merasa sedih, jangan pula engkau kelihatan sedih bila ia sedang bergembira. Ini kerana yang pertama itu menunjukkan kependekan fikiranmu, sedang yang kedua dapat mengeruhkan fikirannya.
  7. Jadilah engkau orang yang paling menghormati suamimu, pasti ia akan menjadi orang yang paling besar memberikan penghargaan kepada dirimu. Jadilah engkau orang yang paling mudah menyetujui pendapatnya, ia tentu akan menjadi orang yang paling lama menemani hidupmu.
  8. “Ketahuilah, engkau tidak akan memperolehi keinginanmu sebelum engkau mengutamakan kesukaannya daripada kesukaanmu sendiri dan lebih mengutamakan kesenangannya daripada kesenanganmu sendiri, baik dalam hal yang engkau sukai, mahupun yang tidak engkau sukai. Semoga Allah menunjukkan pilihan yang terbaik bagimu.”

Nasihat Abdullah bin Jaafar

Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib RA berpesan kepada puterinya yang baru dinikahkan sebagaimana berikut:

  1. Jangnlah engkau cemburu, kerana cemburu itu kunci penceraian.
  2. Janganlah engkau banyak menyalahkan suamimu, kerana hal itu akan menimbulkan kebencian.
  3. Hendaklah engkau memakai celak, kerana celak itu merupakan hiasan terbaik.
  4. Ketahuilah bahawa minyak wangi terbaik itu adalah air. (Maksudnya: Memelihara kebersihan badan dan pakaian lebih baik daripada memakai wangian.

Nasihat Bapa Saudara Baginda

Ketika Ali bin Abi Thalib meminang puteri Rasulullah SAW, Fatimah al-Zahra R.Anha, Baginda bersabda kepadanya:

Maksudnya:

Dia untukmu, tetapi engkau harus menemaninya dengan baik.

Uthman bin Anbah ketika meminang puteri bapa saudaranya, ia disuruh duduk di sampingnya dan sambil membelai-belai kepalanya lalu ia (bapa saudaranya) berkata:

” Engkau keluarga terdekat, orang yang kusayangi dan sekarang datang meminang anak perempuanku. Aku tidak dapat menolak dan dalam hal itu aku merasa wajib mengabulkan. Sekarang kamu berdua (Uthman dan puteri bapa saudaranya) ku nikahkan.”

“Ketahuilah bahawa engkau kupandang lebih baik terhormat daripada anak perempuanku, tetapi dia lebih dekat di hatiku daripada dirimu. Kerana itu hormatilah dia supaya setiap kali aku menyebutnya lidahku terasa segar. Janganlah engkau menghina dia agar harga dirimu tidak merosot dalam pandangku. Engkau telah kudekatkan dengan keluargamu (yakni anak perempuan bapa saudara Uthman) kerana itu janganlah engkau menjauhkan hatiku dengan hatimu.”

Nasihat Abu Darda’ kepada isterinya

Apabila engkau melihat aku sedang marah redakanlah perasaanku, dan bila aku melihat engkau sedang marah akan kuredakan perasaanmu. Jika tidak demikian kami tidak dapat saling berteman.”

Setelah mengucapkan kata-kata itu Abu Darda’ berpantun:

Terimalah kemaafan dariku akan dapat cinta kasihku,

Bila aku marah janganlah menyahut di depanku,

Jangan engkau menabuhku seperti menabuh rebana,

Kerana engkau tidak akan tahu bagaimana akibatnya,

Ku rasa bila cinta kasih di hati tertusuk sembilu,

Tidak syak lagi kasih sayang akan pergi berlalu.”

Artikel asal diambil daripada Buku Baiti Jannati yang ditulis oleh Dato’ Dr. Zulkifli Mohamada al-Bakri terbitan Pustaka Cahaya Kasturi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *