10 Peristiwa Penting Dalam Bulan Ramadan

Subhanallah, begitu cepat masa berlalu. Dalam tak sedar kita sudah melepasi 10 hari terawal dalam bulan Ramadan. Persoalan yang sering bermain di fikiran adalah adakah kita memaknai atau sebaliknya di bulan Ramadan kali ini. AllahuAkbar.

Sahabat, Ramadan bukan sahaja bulan yang dipenuhi dengan pengampunan dan keberkahan akan tetapi ia juga terkandung dengan pelbagai peristiwa yang penting buat umat Islam 🌹

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING DALAM BULAN RAMADAN

Gambar Hiasan : Pinterest
  1. NUZUL QURAN

Al-Quran ialah kitab yang mulia yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. secara mutawatir (berperingkat).

Ia diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus (30 juzuk) dan kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan selama 23 tahun.

Nuzul Quran diambil daripada kalimah arab yang bermaksud ‘Penurunan al-Quran’ yang berlaku pada bulan Ramadan.

Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah: 185)

  1. LAILATUL QADR

Firman Allah SWT:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam qadar (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? (2) Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan (3) Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut) (4) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5).”

(Surah al-Qadr: 1-5)

  1. PERANG BADAR AL-KUBRA

Perang Badar al-Kubra berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah yang merupakan peperangan pertama dalam Islam.

Nama Badar diambil berdasarkan kepada nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dengan Mekah. Peperangan itu melibatkan tentera Islam seramai 313 orang dan 1 000 orang tentera Musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata.

Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 orang tentera Musyrikin terbunuh. 70 orang lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

  1. PEMBUKAAN KOTA MEKAH
Gambar Hiasan : Google

Pembukaan kota Mekah atau dikenali sebagai Fathul Makkah ini berlaku pada 21 Ramadan tahun ke-8 Hijrah. Ia berlaku setelah Nabi SAW mula menggerakkan tentera ke Mekah selepas pihak Quraisy mengkhianati Perjanjian Hudaibiyyah. Peristiwa ini disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)

Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Mekah), (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (3).”

  1. PERSIAPAN PERANG KHANDAK

Dalam peperangan Khandak atau dikenali juga sebagai peperangan Ahzab, Rasulullah SAW telah menyetujui cadangan yang telah dikemukakan oleh Saidina Salman al-Farsi untuk menggali parit sebagai salah satu strategi dalam menghadapi musuh.

Persediaan kerja-kerja menggali parit yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat telah dimulakan pada 16 Ramadan tahun ke-5 Hijrah.

Mereka mengambil masa 20 hari untuk menyiapkan parit ini, walaupun ada pendapat mengatakan enam hari.

  1. WAFATNYA INSAN-INSAN YANG NABI SAYANG
Gambar Hiasan: Google

i. Saidatina Khadijah r.a.

Khadijah binti Khuwailid merupakan isteri pertama Rasulullah SAW dan juga ibu kepada anak-anak Baginda. Beliau merupakan penyokong kuat Rasulullah SAW dalam memperjuangkan agama Islam.

Menurut pandangan ulama Sirah, beliau telah wafat pada bulan Ramadan yang dikenali juga sebagai tahun kesedihan buat Nabi SAW.

ii. Saidatina Aisyah r.a.

Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq merupakan isteri ketiga Rasulullah SAW dan anak kepada sahabat baik Baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a. Beliau yang dilahirkan empat atau lima tahun selepas Nabi dilantik menjadi Rasul itu merupakan seorang wanita yang sangat hebat dalam ilmu agama Islam.

Kefahamannya yang mendalam terhadap agama Islam telah menjadikan beliau sebagai tempat rujukan dan tumpuan bagi orang yang ingin mendalami ilmu fiqh dan hadis pada ketika itu. Beliau telah wafat pada malam Selasa bersamaan dengan 17 Ramadan tahun ke-58 Hijrah.

iii. Saidatina Fatimah r.a.

Fatimah binti Muhammad yang dikenali sebagai Fatimah az-Zahrah adalah puteri bongsu kepada Rasulullah SAW dan isteri kepada Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

Beliau yang memiliki kecantikan serta keperibadian baik, sabar dan penyayang ini sangat patuh dan taat kepada ayahnya. Beliau telah wafat pada 3 Ramadan tahun ke-11 Hijrah iaitu 6 bulan setelah kewafatan Nabi SAW.

iv. Saidatina Ruqayyah r.a.

Ruqayyah binti Muhammad merupakan anak kepada Nabi SAW dan isteri kepada Saidina Uthman bin Affan r.a. Beliau yang sakit ketika perang Badar telah menghembuskan nafas ketika itu iaitu pada bulan Ramadan tahun ke-2 Hijrah.

v. Saidina Ali r.a.

Ali bin Abi Talib adalah khalifah keempat umat Islam yang juga merupakan sepupu dan menantu kepada Nabi SAW. Beliau ialah suami kepada Saidatina Fatimah r.a. dan ayah kepada Saidina Hassan dan Hussin.

Beliau syahid pada 21 Ramadan tahun 40 Hijrah kerana telah dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim.

  1. PENAKLUKAN KOTA ANDALUS

Pada 28 Ramadan tahun ke-92 Hijrah, umat Islam telah berjaya menakluk kota Andalus yang dipimpin oleh Raja Frederick. Operasi peperangan ini dipimpin oleh Tariq bin Ziyad yang mula memasuki Andalus melalui kawasan lereng bukit yang dinamakan Jabal Tariq.

Kumpulan pertama seramai 7 000 orang, dan kumpulan kedua seramai 5 000 orang menjadikan jumlah tentera mereka seramai 12 000 orang.

Peperangan yang terjadi lebih dari satu minggu ini telah menyaksikan kekalahan Kristian Eropah dan Rodheric mati dibunuh. Kemenangan ini menjadikan Islam bertapak di situ selama 800 tahun.

Gambar Hiasan : Google
  1. PEMBEBASAN MASJIDIL AQSA KE TANGAN UMAT ISLAM
Gambar : Pinterest

Pada bulan Ramadan tahun ke 583 Hijrah, Sultan Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya membebaskan Baitul Maqdis, Palestin dalam satu peperangan yang dikenali sebagai perang Salib.

Peperangan ini telah menjadi bukti keagungan beliau dalam memimpin pasukan Islam kerana berjaya merampas kekuasaan Baitul Maqdis daripada pihak tentera Salib.

  1. PEPERANGAN AIN JALUT

Pada 25 Ramadan tahun ke-658 Hijrah, umat Islam telah berjaya mengalahkan pasukan Mongol dalam peperangan Ain Jalut. Ia merupakan peperangan antara kerajaan Islam Mamalik Mesir yang diketuai oleh Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz dengan tentera Mongol yang diketuai oleh Hulagu Khan.

Peperangan ini telah melibatkan seramai 20 000 sehingga 50 000 orang tentera Islam manakala seramai 20 000 orang bagi tentera Mongol.

  1. TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL

Pada 10 Ramadan tahun 1393 Hijrah, telah tertawannya garis Bar Lev, Israel yang merupakan kubu kebanggan bagi mereka. Ia bermula ketika Mesir dan Syria berpakat untuk mengatur satu serangan ke atas Israel.

Serangan serentak ini telah menyebabkan kemusnahan teruk kepada Israel sebelum pasukan udara Amerika Syarikat membantu Israel untuk mengundurkan tentera Arab selepas tiga minggu berperang.

2 656 orang askar Israel terbunuh manakala 7 250 tentera yang tercedera.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Semoga dengan memahami peristiwa-peristiwa ini, kita dapat menghayati dan memaknai lagi bulan Ramadan pada kali ini, insyaAllah.

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA. 🤲

ASMA’ BINTI HARUN

Rujukan:

  1. Tafsir Ibn Kathir
  2. Rahiq al-Makhtum, Syeikh Sofiyyurrahman al-Mubarakfuri
  3. Ensiklopedia Perang Rasulullah, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil dan Ustaz Muhammad Aizudin Kamarul Zaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *