Kerjaya : Kursus Untuk Wanita Di Kelantan
Wanitakelantan.com

KELUARGA DAN TANAH KELAHIRAN

YB Dato’ Rohani (lebih dikenali sebagai YB Kak Ani) dilahirkan pada 19 Februari 1965 di Kampung Padang Sakar, Salor, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan kakak sulung kepada tujuh adik -beradik yang berbapakan pesara tentera , Ibrahim Mohd Nor. Semasa usia YB Kak Ani masih kecil ,ibunya Sariah Yaakob  meninggal dunia. Lalu, beliau dibesarkan oleh ibu tiri yang juga ibu saudaranya, Siti Esah  Yaakob.

Ibu bapa YB Kak Ani tidak pernah terfikir bahawa anak perempuan mereka ditakdirkan menjadi wanita pertama dicalonkan sebagai wakil rakyat wanita mewakili PAS di Kelantan. Justeru PAS ialah parti yang sangat berpegang teguh kepada dasar dan prinsip agama yang meletakkan pencalonan wanita sebagai pemimpin masyarakat di bawah isu khilaf yang dibahaskan mengikut kesesuaian semasa.

Walaupun tidak memegang jawatan utama parti, Allahyarham bapanya celik politik dan sentiasa bersemangat menyokong idea perjuangan Islam. Ayahnya terlibat secara aktif pada peringkat cawangan. Arwah datuknya pula merupakan mantan penghulu yang aktif berkhidmat dalam masyrakat. Itulah yang menjadi titik mula perjuangan YB Kak Ani. Sudah tentulah sokongan dan restu suami menjadi teras utama untuk beliau terus aktif dan istiqamah hingga hari ini.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

YB Kak Ani mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di Johor dan Sarawak kerana mengikuti bapanya bertugas . Kemudian semasa darjah 6, beliau sempat belajar di Sekolah Kebangsaan Salor, Kota Bharu dan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Zainab (1), Kota Bharu sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti terpaksa ditangguhkan kerana perlu memberikan keutamaan kepada keluarga. YB Kak Ani bertemu jodoh pada tahun 1984 pada usia 19 tahun dengan Cikgu Mohd Pauzi Hassan. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata; Aimi Liyana, Nursabati, Nurul Huda dan Muhammad Adam. Buat masa ini sudah menerima empat cucu.

TARBIAH GERAKAN ISLAMIAH DI MEDAN REALITI

YB Kak Ani mendapat pendedahan awal tentang perjuangan Islam sejak kecil kerana membesar dalam keluarga  yang mendukung  perjuangan PAS. Sebaik sahaja mendapat anak sulung pada tahun 1987, beliau terus menginfakkan diri untuk kerja jemaah dan kebajikan disamping menjadi suri rumah.

Dek kerajinan dan kesungguhannya melaksanakan setiap tugasan serta sikap suka berdikari, beliau ditaklifkan sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Bharu pada tahun 1995 ketika berusia 30 tahun. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga kini menjangkau tempoh 29 tahun.

Pada tahun 2007 hingga sekarang, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK). Bermula tahun 2023 hingga kini, beliau diberi kepercayaan menggalas jawatan berikut:

  1. Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Negeri Kelantan
  2. Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS Negeri Kelantan
  3. Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Kelantan
  4. Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyrakatan DMPNK
  5. Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Pusat
  6. Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Tanjong Mas
  7. Penasihat Jabatan Pilihanraya Muslimat PAS Negri Kelantan

LATAR BELAKANG KERJAYA

Dari tahun 1999 hingga 2004, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Selepas tahun 2004, antara jawatan yang diamanahkan kepada YB Kak Ani ialah AJK Jabatan Hal Ehwal Tanah Kota Bharu dan Ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara Negeri Kelantan. Di samping itu, sejak tahun 2004 sehingga sekarang, YB Kak Ani turut menjadi Penasihat Koperasi Wanita Islam Kelantan (KOWANIS).

Rezeki menyebelahinya apabila tahun 2004, Muslimat PAS buat julung kali dibenarkan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum peringkat negeri. Pilihanraya Umum ke-11(PRU-11) menyaksikan YB Kak Ani mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Che Mansor Adabi Che Hassan dengan majoriti 2,879 di DUN Tanjong Mas. Beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut sehingga PRU-15 sekali gus menjadi ADUN buat penggal ke-4. Ini membuktikan bahawa wanita mampu berkhidmat untuk rakyat dengan baik dan diterima kepimpinannya.

Selepas PRU-12 (2008 – 2013), beliau menggalas tanggungjawab yang lebih besar iaitu sebagai Timbalan EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan bersinergi dengan EXCO wanita pertama daripada PAS iaitu YB Wan Ubaidah Omar.

 Selepas PRU-13 (2013 – 2018), beliau diamanahkan pula sebagai Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat. Seterusnya pada penggal ke -14 (2018- 2023), YB Kak Ani berganding bahu dengan YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi sebagai Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita  Negeri Kelantan.

Kemuncaknya, selepas PRU 15 (2023 – kini), YB Kak Ani diberi kepercayaaan memegang Amanah sebagai Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan.

JAWATAN ADALAH AMANAH, BUKAN GHANIMAH

YB Kak Ani mengganggap tugas yang disandang adalah amanah dan ujian buatnya untuk berkongsi tenaga dan buah fikiran kepada jemaah, bukannya ghanimah (kemegahan). Memetik ayat 19 surah al-A’raaf, YB Kak Ani menyatakan bahawa ayat ini menjadi motivasi kepada dirinya dan pasukan kepimpinan untuk mentadbir serta mengurus rakyat Kelantan dengan Islam, iman dan takwa.

Elemen-elemen itu sudah meliputi semuanya iaitu kebajikan dengan keadilan dengan rahmat Allah. Baginya, tugas sekarang sebagaimana satu mata rantai daripada mata-mata rantai yang panjang. Beliau tekad menyambung tugasan para EXCO wanita sebelum ini dan ia akan disambung oleh legasi kepimpinan seterusnya.

Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz (TGNA) telah meletakkan dasar yang cukup indah untuk dipraktikkan sehingga ke hari ini. Pesan beliau,

“Walau apa pun dasar yang ingin dibuat, asas kepada dasar di Kelantan MESTILAH Membangun Bersama Islam (MBI).”

Kini slogan Merakyat MBI diikuti Penghayatan MBI merupakan kesinambungan bagi merealisasikan dasar MBI hingga ke akar umbi.

MERAKYATKAN DASAR

Tempoh 34 tahun adalah waktu yang panjang dan Kelantan melalui banyak fasa perubahan. Sebagai penerus kesinambungan kepimpinan ulama, beliau berusaha untuk mempraktikkan amanah itu dengan sebaik-baiknya dan meneruskan legasi yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu. Antara yang dilakukan oleh figura hebat ini ialah merakyatkan Dasar Wanita Solehah Kelantan agar lebih dekat dengan rakyat dan mudah diterima oleh pelbagai golongan.

Berasaskan dasar MBI, urus setia di bawah portfolio Kebajikan,Pembangunan Keluarga dan Wanita telah menghasilkan dasar-dasar berkaitan secara tuntas iaitu; Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan (2008), Dasar Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan (2015), Dasar Kanak-Kanak Fitrah Kelantan (2018), Dasar Warga  Emas Mukramun (2021), Dasar Anak Yatim Islah Kelantan (2022), Dasar Wanita Solehah Kelantan (2022) dan Dasar OKU Muqarrabun Kelantan (2023).

“Dasar-dasar dibuat ini sudah elok. Cabarannya untuk diaplikasikan oleh masyarakat sehingga membuahkan hasil. Itu antara dasar yang telah dibuat dalam tempoh pemerintahan PAS di Kelantan. Bagi saya, ia satu tempoh pencapaian yang hebat dan digubal berdasarkan al-Quran dan hadis kerana dalam Islam ia cukup komprehensif serta merangkumi semua aspek,” ujarnya  ketika diwawancara.

YB Kak Ani menjelaskan bahawa sudah tiba masanya untuk menumpukan perhatian melaksanakan semua dasar yang ada agar dapat dihayati oleh rakyat. Sejak zaman TGNA, Kelantan amat mementingkan kebajikan rakyat, bukan sebagai umpan politik semata-mata tetapi kerana melaksanakan kehendak Islam.

PROGRAM KEBAJIKAN MESRA RAKYAT

Banyak program sedia ada dalam aspek kebajikan, pembangunan keluarga dan wanita diteruskan pelaksanaannya kerana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat. Dalam konteks pembangunan keluarga, pelbagai program yang sudah dan akan diperkenalkan untuk meningkatkan tahap kebahagiaan keluarga di Kelantan.

Contohnya, garis panduan rumah tiga bilik bertujuan mengekang masalah sosial yang bermula dari rumah. Ia memerlukan kefahaman rakyat untuk patuh syariat bagi menjaga perlakuan, tahu dosa pahala, syurga dan neraka. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu membudayakan amalan kebersihan kerana ia dua elemen yang berbeza. Apatah lagi kebersihan itu sebahagian daripada iman.

KONSEP BERKEBAJIKAN MEMAYUNGI SEMUA GOLONGAN

Satu pembaharuan dirancang dalam menambah baik Skim Cakna AUlad iaitu dengan menyediakan akaun Tabungan Dirham sejak awal kelahiran. Sasarannya, ibu bapa muda yang baharu membina keluarga bertujuan menanam sikap menabung  dalam kalangan  mereka sebagai jaminan masa hadapan anak-anak. Biarpun hanya sedikit tabungan pada setiap bulan, tetapi harus dilakukan secara berdisiplin .

Selain itu, bantuan khas kepada pesakit kanser payudara diberikan sebanyak RM 500 sekali bayar sebaik sahaja mendapat pengesahan daripada doktor. Sementara itu bantuan untuk bapa tunggal yang menepati syarat yang ditetapkan turut diberikan. Skim ini adalah di bawah peruntukkan Skim Manfaat Armalah YANG DITAMBAH KATEGORI PENERIMA. Sebelum ini hanya diberikan kepada ibu tunggal.

Seterusnya, Kursus Kemahiran dan sumbangan seperti Skim Halimatus Saadiah diberi kepada pengasuh (muaddibah) khususnya pengasuh di rumah bagi membantu melahirkan pengasuh yang terlatih dan berilmu dalam pendidikan awal kanak-kanak secara formal, juga supaya perkhidmatan mengasuh dapat berjalan dengan sebaiknya.

Beliau turut bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk membantu wanita dan keluarga yang bermasalah. Antaranya program Big Hero yang dibuat khusus buat golongan lelaki selaku ketua keluarga. Pada tahun 2024, Big Hero dibuat khusus bersama prospek di dua pusat tahanan dan pusat pemulihan akhlak bagi membantu persiapan mereka keluar ke pangkuan keluarga.

Manakala Bengkel Pengurusan Emosi Bersama Ibu Hamil dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kesihatan Daerah dan Pusat Perubatan An-Nisa’ untuk membantu ibu hamil menguruskan emosi dan melahirkan bayi yang sihat. Dalam masa sama Kerajaan tidak mengabaikan warga emas. Apatah lagi, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 apabila 15 peratus warga Malaysia terdiri daripada populasi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Kita merancang untuk memberi pendidikan dan pemahaman tentag tanggungjawab menjaga ibu bapa kepada anak-anak dan keluarga yang menempatkan ibu bapa di pusat jagaan warga emas. Mereka perlu faham tentang kebajikan, tanggungjawab asas sebagai anak atau ahli keluarga terdekat. Kita juga akan melihat dengan lebih meluas rantaian keperluan dan kebajikan yang perlu ada bagi mewujudkan ekosistem berkebajikan antara semua pihak dalam masyarakat kita secara bersepadu. Barulah kita dapat mencapai baldatun tayyibatun, wa rabbun ghafuur. Insya-Allah,” jelasnya mengakhiri pertemuan.

Sumber Artikel : Qiadah PMBK

namum telah disunting oleh editor wanitakelantan.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *