Wanitakelantan.com

Di sebalik kehalusan benang emas dan perak, tersembunyi kisah ketekunan serta keindahan seni tekstil Melayu yang diwarisi turun-temurun. Sulaman kelingkan dan songket bukan sekadar kain berhias, tetapi lambang kemegahan, status, serta identiti budaya yang semakin bernilai di mata dunia. Namun, mampukah warisan ini terus bertahan dalam arus fesyen moden? Mari kita selami keunikan dua seni tekstil ini yang penuh sejarah dan makna.

Jejak Warisan: Sejarah dan Asal-Usul

“Ramai yang tertanya-tanya kenapa ia dipanggil kelingkan? Ada sumber mengaitkan asal usul kelingkan dari India kerana di Asia Tenggara perkataan ‘keling’ merujuk orang dari India Selatan.

“Ia juga timbul kerana bunyi ‘keling-keling’ yang dihasilkan penari India ketika menghentak kaki diikat loceng,” katanya.

Antara peralatan menghasilkan sulaman kelingkan. – NSTP/Zaman Huri Isa

Sumber Gambar : BH Online

Namun, menurut Nik Marhamah ada juga sumber menyatakan kain kelingkan berasal dari Eropah berikutan istilah clinquant yang digunakan dalam bahasa Perancis untuk menggambarkan sulaman benang logam pipih disadur emas dan perak.

Dengan benang emas dan perak yang bersinar indah, sulaman ini sering menghiasi selendang, tengkolok, dan pakaian pengantin, menjadikannya lambang kehalusan cita rasa Melayu.

Sejarah dari mana datangnya kain songket itu tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun dan asal usul perkataan songket dikatakan berasal daripada ‘menyungkit’ kerana dalam bahasa Siam ‘kek’ membawa erti menyungkit selain ‘songkok’ (China) membawa maksud yang sama.

Mengikut Robyn Maxwell (1990), pengetahuan orang Melayu mengenai teknik songket mungkin diambil daripada orang Cina yang memperkenalkan bahan logam tetapi kehadiran budaya dari Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul (India) telah memperkukuhkan lagi penghasilannya.


Tidak banyak diketahui mengenai asal songket, tetapi kemungkinannya penenunan songket berkembang di Malaysia melalui perkahwinan antara keluarga diraja, yang merupakan strategi penyatuan biasa sekitar abad ke-15.
Songket menggunakan teknik tenunan, di mana benang emas ditenun antara benang sutera pada kain latar. Fibrik yang mewah dan mahal ini menggambarkan struktur sosial dikalangan bangsawan Melayu. Hanya mereka yang memiliki kemahiran tinggi mampu menghasilkan kain songket bermutu tinggi, dengan motif yang mengandungi nilai falsafah dan tradisi. Tidak hairanlah songket menjadi pilihan utama dalam majlis adat dan perkahwinan, sebagai simbol warisan yang tidak ternilai.

Sumber: https://ulekmayangbiz2u.blogspot.com/2009/10/asal-usul songket.html

Kehalusan Seni: Teknik Pembuatan dan Keistimewaan

Sulaman kelingkan dihasilkan dengan menggunakan benang emas dan perak yang disulam pada kain sutera atau baldu. Teknik penyulaman yang digunakan menghasilkan corak timbul yang bersinar dengan eksklusif. Setiap motif yang dihasilkan mempunyai maksud tersendiri, mencerminkan status serta keindahan budaya Melayu yang kaya dengan simbolisme.

Sumber : hmetro

Bagi songket pula, ia ditenun menggunakan benang emas atau perak yang disulam pada kain dasar kapas atau sutera. Proses penenunan menggunakan alat tenun tradisional seperti ‘kek songket’ memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi. Setiap motif yang dihasilkan mempunyai nilai tersirat, seperti pucuk rebung yang melambangkan kepimpinan, bunga cengkih yang mencerminkan kesejahteraan, serta awan larat yang menggambarkan keabadian.

Sumber : https://tourism.kelantan.my/index.php/en/kraf/songket

Transformasi Tradisi dalam Dunia Moden

Dahulu, songket dan sulaman kelingkan hanya digunakan dalam upacara adat serta pakaian rasmi diraja. Namun kini, seni ini semakin diterima dalam fesyen moden. Ini menjadikan songket bukan sekadar pakaian klasik, tetapi juga sebagai sebahagian daripada fesyen berprestij. Sulaman kelingkan pula semakin mendapat tempat dalam rekaan selendang dan gaun moden, membuktikan bahawa keindahan tradisi tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Cabaran: Mampukah Warisan Ini Bertahan?

Di sebalik keunikan dan kehalusan seni ini, terdapat cabaran yang perlu dihadapi. Kekurangan tenaga mahir menjadi salah satu isu utama kerana generasi muda kurang berminat untuk mempelajari seni ini. Proses pembuatannya yang memakan masa dan memerlukan ketelitian tinggi menyebabkan ramai yang beralih kepada bidang lain yang lebih mudah serta cepat menghasilkan pendapatan.

Sumber gambar: BH Online

Selain itu, persaingan dengan tekstil moden juga memberi kesan kepada industri ini. Kain bercorak digital dan fabrik sintetik yang lebih murah serta mudah didapati menyebabkan permintaan terhadap songket dan sulaman kelingkan semakin berkurangan. Tanpa inovasi dalam promosi dan pemasaran, seni ini berisiko untuk tenggelam ditelan zaman.

Namun, tidak semua berita buruk. Dengan inisiatif kerajaan, pereka fesyen, serta pengusaha tekstil, usaha untuk mengangkat semula songket dan sulaman kelingkan semakin giat dijalankan. Program latihan, inovasi dalam rekaan, serta pendedahan di peringkat antarabangsa mampu memastikan seni ini terus dihargai dan berkembang.

Bagi yang ingin mengasah kemahiran dan memperkasa seni warisan tradisional, program Latihan Intensif Sulam Kelingkan dan Songket 2025/2026 kini dibuka untuk pendaftaran. Program ini dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) dengan kerjasama Malaysian Craft Council (MCC). Latihan intensif ini bertujuan memperkasakan seni sulam kelingkan dan songket Melayu melalui sesi latihan bersama pakar industri. Ia adalah peluang yang sangat baik untuk ibu-ibu mendalami seni tradisional ini dan memperkaya warisan budaya Melayu.

Sesi ini menampilkan pakar industri tekstil tempatan yang berkongsi pengalaman dan wawasan mereka mengenai pemeliharaan serta perkembangan seni kraf kelingkan dan songket.

Puan Ilvira Mohd Dasuki, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa). Beliau menyeru agar peserta yang hadir menjadi penyampai maklumat kepada masyarakat tentang inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan seni warisan kelingkan dan songket.

Encik Nik Faiz Nik Amin, Presiden Malaysian Craft Council (MCC) memaklumkan bahawa MCC kini sedang mencari 20 orang peserta yang benar-benar komited untuk menyertai latihan intensif dalam bidang kelingkan. Program ini bertujuan untuk melahirkan generasi baharu penggiat seni tekstil tradisional yang mampu meneruskan warisan ini.

“Harapan kami adalah agar keunikan warisan ini dapat disambung oleh generasi akan datang. Kelingkan bukan sekadar seni, tetapi lambang identiti budaya yang perlu kita pertahankan bersama,” ujarnya.

Kesimpulan: Memartabatkan Warisan Tekstil Melayu

Sulaman kelingkan dan songket bukan sekadar kain berbenang emas, tetapi lambang kemegahan warisan yang perlu terus dipelihara. Jika langkah yang betul tidak diambil untuk menghargai dan menghidupkan semula seni ini, generasi akan datang mungkin hanya mengenalinya melalui lipatan sejarah. Dengan gabungan inovasi serta kesedaran budaya, warisan ini bukan sahaja boleh bertahan, malah mampu berkembang sebagai identiti unggul bangsa Melayu. Memelihara warisan ini bukan sekadar tanggungjawab individu tertentu, tetapi merupakan amanah bersama dalam memastikan keindahan budaya terus bersinar untuk generasi yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *