PAYUDARA WANITA SIHAT DAN CANTIK (1)

Payudara sihat dan cantik adalah idaman bagi setiap wanita dan sering dikatakan sebagai aset terpenting wanita. Namun, kesihatan aset ini sering kali tidak diambil berat oleh sesetengah masyarakat dan ia boleh menimbulkan penyakit jika tidak membuat pemeriksaan awal. Penyakit kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap berlaku dan banyak mengorbankan nyawa dalam kalangan wanita di Malaysia.

Berdasarkan statistik terkini, mencatatkan 1 daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia. Kanser payudara berpunca dari sel-sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keadaan yang tidak terkawal.

Sumber Gambar: Unit Kesedaran dan Penyelidikan Barah Payudara (Bestari)

Kanser ini boleh merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, hati dan paru-paru sekiranya ia tidak dikesan dan dirawat dengan segera. Jadi, salah satu cara untuk para wanita membuat pengesanan awal penyakit ini adalah dengan melakukan saringan awal payudara.

Program Saringan Kesejahteraan Payudara Wanita Kelantan

Baru-baru ini, projek Saringan Kesejahteraan Payudara 2023 (PAYUNG 2023) telah dilakukan dengan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Kelantan, PAPISMA, Unit Bestari HUSM, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Dhia Camelia Holdings Sdn Bhd. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada kaum wanita bahawa pentingnya saringan awal kanser payudara dilakukan.

Projek ini melibatkan kempen, taklimat serta bekalan peralatan untuk melakukan saringan awal pencegahan kanser payudara. Turut hadir bagi memeriahkan Program Saringan Kesejahteraan Payudara Wanita Kelantan ini sekaligus merasmikannya adalah YB Dato Hajah Mumtaz Md Nawi selaku Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan.

Sumber Gambar: Facebook Mumtaz Md Nawi Official

Program ini merupakan langkah kerajaan negeri bagi membantu kaum wanita kelantan untuk menggalakkan melakukan saringan awal agar dapat mengetahui sama ada diri kita mempunyai penyakit ataupun tidak. Sekiranya terdapat tanda-tanda awal kanser payudara, kita dapat mencegahnya terlebih dahulu sebelum ianya merebak lebih teruk.

Alat Pengesan Kanser Payudara

Kaum wanita tidak perlu takut untuk melakukan pemeriksan awal kanser payudara. Hal ini kerana terdapat sebuah mesin braster iaitu alatan yang mengunakan teknologi Poland digunakan dalam saringan awal pengesanan kanser payudara.

Alat ini amat membantu memudahkan kita, para wanita untuk melakukan saringan payudara dalam tempoh masa yang singkat. Alatan ini juga selamat digunakan dan tidak membuatkan kita merasa sakit semasa melakukan saringan.

Oleh itu, kita semua terutamanya para wanita yang mempunyai risiko serta sejarah keluarga yang menghidap kanser payudara digalakkan untuk membuat saringan awal kanser payudara.

Tidak perlu takut untuk melakukannya kerana ianya juga untuk menjaga kesihatan diri kita dan mencegahnya sebelum merebak lebih teruk pada masa akan datang.

Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal. Jadi kita mesti bertindak segera!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *