Wanitakelantan.com (6)

Isu Palestin sering dikaitkan dengan konflik politik dan kemanusiaan, tetapi bagi wanita mukminah, ia adalah lebih daripada itu kerana ia adalah perjuangan akidah. Surah Al-Isra’ ayat 1 membuktikan bahawa Masjidil Aqsa bukan hanya simbol sejarah, tetapi tapak yang dipilih Allah untuk memperjalankan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa agung Israk Mikraj. Ia adalah mesej bahawa tanah suci ini berkait rapat dengan iman dan tanggungjawab setiap muslim, termasuk wanita.

Perjalanan Nabi SAW ke Masjidil Aqsa berlaku selepas fasa getir dalam hidupnya iaitu kehilangan isteri tercinta, Khadijah dan bapa saudara yang melindunginya. Dalam saat kelemahan itu, Allah memuliakan Baginda. Ini satu inspirasi buat wanita bahawa kelemahan dan ujian hidup bukan noktah, tetapi permulaan untuk Allah angkat darjat kita jika akidah kita teguh. Dalam rumah tangga, kerjaya dan perjuangan sosial, wanita boleh menjadi penggerak kekuatan ummah, sebagaimana Rasulullah SAW yang bangkit dengan kekuatan baru selepas Israk Mikraj.

Allah juga mengingatkan umat Islam agar tidak mengulangi kesilapan Bani Israel yang dilakarkan dalam Surah Al-Isra’. Sifat sombong, syirik halus dan tidak bersyukur adalah penyakit hati yang menghancurkan tamadun mereka. Bagi wanita beriman, menjaga hati daripada sifat ini adalah satu bentuk jihad. Kekuatan seorang wanita bukan hanya pada kata-kata, tetapi pada akhlak, kesabaran dan hubungan dengan Allah yang ikhlas.

Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya disebut sebagai bumi yang diberkati (barakah). Barakah ini bukan sekadar hasil bumi seperti pohon tin dan zaitun, tetapi juga barakah rohani hasil dakwah para Anbiya’ yang menanam benih tauhid di tanah itu. Seorang wanita juga boleh menjadi sumber barakah dalam rumah dan masyarakat apabila dia menghidupkan nilai-nilai Islam seperti sabar, syukur dan ikhlas. Inilah barakah sebenar yang membina masyarakat rabbani.

Akhirnya, Surah Al-Isra’ membawa berita gembira bahawa kaum muslimin akan kembali memasuki Masjidil Aqsa dengan penuh maruah dan kemenangan. Namun, ia bukan janji kosong. Ia datang dengan syarat: jauhi maksiat, buang sifat mazmumah, dan hidup dengan disiplin Al-Quran. Wanita hari ini memainkan peranan penting dalam mencorak generasi dengan mendidik anak-anak dengan cinta pada Islam dan isu ummah, menyokong suami dalam perjuangan dan menggunakan media sosial untuk menyebar kesedaran. Ini semua adalah langkah-langkah kecil yang membawa kepada kemenangan besar.

Kesimpulannya, Surah Al-Isra’ bukan sekadar surah sejarah. Ia adalah pelan tindakan untuk membebaskan ummah dari belenggu kelemahan dan perpecahan. Wanita beriman adalah nadi perjuangan ini. Masjidil Aqsa memanggil kita, bukan dengan senjata, tetapi dengan hati yang bersih, peranan yang jelas dan keimanan yang tulus. Semoga Allah menerima usaha kecil kita dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka yang mengembalikan maruah Baitul Maqdis, insyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *