B247d836 853f 48ce 9422 25563d3061bd

Anugerah Khas Pendidikan merupakan salah satu anugerah yang baru diperkenalkan pada sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2021. Anugerah ini dinobatkan kepada Allahyarham Dr. Rus Sanani @ Asiah Bt Hassan yang berasal daripada Kota Bharu, Kelantan. Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Ustaz Nik Razi Nik Mat yang merupakan adinda kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.  Hasil perkahwinan ini telah dikurniakan dua belas orang cahaya mata. Anak-anak beliau telah mendapat kerjaya yang baik dan sesuai dengan bidang masing-masing.

Allahyarham Dr. Rus Sanani menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam Syariah dan Undang-Undang di YPTIK Nilam Puri dan meneruskan pengajian diploma dalam bidang Pendidikan Islam di Universiti Ain Syam, Mesir pada tahun 1980. Dengan minat yang mendalam untuk menuntut ilmu, beliau melanjutkan pendidikan di Universiti Azhar, Mesir dalam pengajian Perundangan Islam/ Syariah. Pada tahun 2005, beliau telah berjaya menamatkan pengajian beliau di peringkat doktor falsafah dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Universiti Malaya (UM).

Pada awal kerjaya beliau, Allahyarham Dr. Rus Sanani merupakan seorang guru agama di Madrasah Sullamiah, Bunut Payong pada tahun 1982 sehingga 1983. Kemudian, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa universiti seperti ITM Shah Alam, ITM Kelantan dan Kias, Nilam Puri. Walaupun beliau seorang yang aktif dalam kerjaya dan lapangan, beliau tidak pernah melupakan tugasnya sebagai seorang ibu di rumah. Beliau berjaya menguruskan anak-anak beliau dengan baik sehingga mereka berjaya dan menjadi insan yang berbakti kepada masyarakat dan bangsa.                

                                   
Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai pensyarah, beliau telah mendapat banyak penghargaan dan pengiktirafan pihak universiti di atas usaha dan kejayaan beliau sebagai pendidik. Antara penghargaan yang diperolehi ialah Tokoh Penulisan 2007, Anugerah Penulisan 2008, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 (UiTM Kelantan), Anugerah Pembentangan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf UiTM Kelantan 2009, Anugerah Pembentangan sempena Hari Kemuncak Inovasi UiTM Kelantan 2010 dan Anugerah Khidmat Cemerlang 2014 sempena Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Staf KIAS 2014. Hal ini menggambarkan bahawa beliau seorang yang gigih dan sentiasa berusaha dalam setiap tugasan yang diberikan.
 
Selain itu, tokoh ini juga aktif dalam memberi sumbangan dalam bidang penulisan dan menulis kertas kerja di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Beliau mempunyai kemahiran dalam penyelidikan dan telah menerbitkan beberapa buku bagi menjawab kemusykilan agama dalam isu kekeluargaan, wanita, ibadah, akidah dan lain-lain. Di samping itu, beliau juga suka berkongsi ilmu dan pengalaman bersama mahasiswa dan masyarakat terutama dalam isu fiqh, ibadah, perkahwinan, keluarga dan lain-lain.                                         
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Pada tanggal 9 Julai 2019, Dr. Rus Sanani telah pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang sangat besar dalam dunia pendidikan. Semoga ilmu yang pernah beliau kongsi dan tinggalkan bakal menjadi ilmu bermanfaat dan amal jariah yang sentiasa berpanjangan. Kisah beliau sangat memberi motivasi dan inspirasi kepada wanita dan ibu di luar sana untuk terus berusaha mencapai yang terbaik. Al-Fatihah untuk beliau.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *