Wanitakelantan.com (4)

Dalam realiti dunia moden yang serba mencabar ini, manusia semakin sibuk mengejar kehidupan duniawi sehingga kadangkala terlupa bahawa pekerjaan yang dilakukan saban hari bukan sekadar untuk menyara hidup, tetapi turut menjadi bekalan untuk hari akhirat. Sempena sambutan Hari Pekerja, wajarlah untuk kita merenung sejenak: Apakah pekerjaan kita hanya untuk dunia, atau sebagai satu bentuk pengabdian kepada Allah?

Kerja dalam Islam bukan hanya memenuhi keperluan jasmani dan keluarga, tetapi ia juga adalah satu bentuk ibadah sekiranya diniatkan dengan betul. Dalam Surah Ali ‘Imran ayat 14, Allah SWT menggambarkan betapa dunia ini dihiasi dengan pelbagai bentuk kenikmatan – wanita, anak-anak, harta benda dan sebagainya. Namun, kesemuanya hanyalah sementara. Tempat kembali yang sebenar ialah di sisi Allah SWT.

Apabila kerja dilakukan dengan niat kerana Allah, maka segala usaha dan titik peluh akan bernilai ibadah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niatnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka seorang petani yang bercucuk tanam dengan niat memberi nafkah kepada keluarganya, atau seorang guru yang mendidik murid-murid dengan ikhlas, kedua-duanya berada dalam medan ibadah.

Islam tidak pernah memisahkan antara usaha dunia dan bekalan akhirat. Dalam Surah al-Mulk ayat 15, Allah berfirman: “Maka berjalanlah di muka bumi dan carilah rezeki Allah, dan kepada-Nya-lah kamu kembali.” Inilah falsafah kerja dalam Islam – dunia dijadikan ladang untuk akhirat. Selagi mana pekerjaan itu halal dan dilakukan dengan penuh amanah serta ihsan, maka ia adalah ibadah.

Terdapat tiga prinsip penting yang harus difahami oleh setiap Muslim dalam urusan kerja: Ubudiyyah (pengabdian), Mas’uliyyah (tanggungjawab), dan Itqan (kesungguhan).

Kerajaan Negeri Kelantan melalui dasar Membangun Bersama Islam turut menjadikan prinsip-prinsip di atas sebagai teras dalam pelaksanaan pentadbiran negeri:

Ubudiyyah

Prinsip ini menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Maka setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasaskan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, dan setiap pekerjaan hendaklah diniatkan sebagai ibadah. Tujuan ibadah dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk tingkah laku dalam pekerjaan – sama ada perbuatan, perkataan mahupun gerak hati. Kejayaan dalam hidup dan kerjaya sangat bergantung kepada sejauh mana kita melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana Allah SWT.

Mas’uliyyah

Mas’uliyyah pula adalah prinsip yang berkaitan dengan integriti dan tanggungjawab. Setiap pekerjaan yang dilakukan bukan hanya untuk dunia, tetapi mempunyai kaitan dengan agama serta dinilai dari sudut dosa dan pahala. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 30: “Sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang khalifah di bumi.” Sebagai khalifah, manusia bertanggungjawab atas setiap tindakan dan kerja yang dilaksanakan. Prinsip ini menekankan pelaksanaan tugas dengan penuh akauntabiliti dan amanah.

Itqan

Itqan ialah prinsip yang menekankan akhlak kerja dan amalan soleh. Ia menyeru setiap Muslim agar bersungguh-sungguh, tekun dan beriltizam dalam tugasan yang diamanahkan. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang tinggi, sistematik dan penuh keikhlasan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan sempurna.” (Riwayat al-Baihaqi). Inilah nilai profesionalisme menurut Islam – melaksanakan tugas dengan tekun, teliti dan bersungguh-sungguh.

Sirah para nabi dan sahabat membuktikan hal ini. Nabi Musa AS dipilih oleh ayah kepada dua gadis di Madyan kerana sifat kuat dan amanahnya (Surah al-Qasas: 26). Rasulullah SAW sendiri turut serta dalam membina Masjid Nabawi bersama para sahabat – satu contoh itqan yang agung. Saidina Umar RA berjalan malam demi memastikan tiada rakyat yang kelaparan. Imam Abu Hanifah RA menolak keuntungan sekiranya ada kecacatan pada barang yang dijual. Mereka semua faham bahawa kerja adalah amanah dan peluang meraih pahala.

Firman Allah dalam Surah al-‘Ankabut ayat 69: “Dan orang-orang yang bermujahadah kerana Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” Manakala Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarganya, maka dia berada di jalan Allah.” (Riwayat al-Tabarani).

Kepada yang masih belum mendapat pekerjaan, jangan pernah berputus asa. Teruskan berdoa, berusaha dan bertawakal. Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan beri rezeki kepada kamu sebagaimana seekor burung – keluar pagi dalam keadaan lapar, dan pulang petang dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Tirmizi).

Akhir kalam, bekerjalah dengan niat yang tulus, dengan penuh rasa tanggungjawab dan pengabdian kepada Allah. Bekerjalah bukan kerana nama atau upah semata, tetapi kerana ingin mendapatkan redha-Nya. Kerja yang halal, bersih dan dilakukan dengan penuh keikhlasan akan menjadi jalan menuju syurga. Semoga setiap keringat yang menitis menjadi saksi amal soleh kita di hadapan Allah kelak.

Selamat Hari Pekerja. Moga segala usaha kita sentiasa dalam keberkatan dan rahmat Ilahi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *