
Islam adalah agama fitrah yang meraikan kasih sayang dalam bingkai syariat. Dalam usaha menjaga keharmonian rumah tangga dan mengangkat nilai cinta yang halal, Sambutan Hari Suami Isteri yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan menjadi satu inisiatif yang amat terpuji. Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai satu alternatif Islamik terhadap sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sering dikaitkan dengan budaya asing serta unsur maksiat.
Baru-baru ini, Dataran Majlis Daerah Tanah Merah menjadi saksi kepada penganjuran Sambutan Hari Suami Isteri yang dihadiri oleh ratusan pasangan dan keluarga. Majlis ini bukan sekadar acara simbolik tetapi satu usaha membudayakan kasih sayang dalam perkahwinan yang sah. Seperti yang ditegaskan oleh YB Rohani Ibrahim, sambutan ini memberi ruang kepada pasangan untuk meraikan cinta yang bersifat syarie dan bukan nafsu yang terkeluar daripada batas agama.

Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyebut bahawa Hari Suami Isteri ini merupakan satu jawapan Islam terhadap Valentine’s Day yang tidak mempunyai asas syariat dan meraikannya tanpa sebarang ikatan yang sah malah disertai dengan aktiviti yang mendekati zina adalah satu perkara yang ditolak dalam Islam.
Dalam suasana masyarakat yang kian terdedah kepada cabaran sosial seperti hiburan melampau, LGBT, keruntuhan akhlak remaja, dan perpecahan rumah tangga, usaha untuk mengangkat nilai keluarga amatlah penting. Kelantan sendiri telah menggubal Dasar Keluarga Mawaddah sejak tahun 2008, sebagai tonggak kepada dasar kekeluargaan negeri. Dasar ini menjadi pemacu kepada pelbagai usaha seperti pengasingan kaunter lelaki dan wanita di pasar raya, pelaksanaan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai hari ilmu dan keluarga serta dasar rumah minimum tiga bilik.
Sambutan Hari Suami Isteri ini turut diisi dengan aktiviti mendidik dan menghibur seperti pertandingan Nota Cinta, mewarna kanak-kanak dan acara penghargaan kepada pasangan. Ia menyemai rasa cinta yang berpaksikan Mawaddah, Sakinah dan Rahmah. Ini semua selari dengan Firman Allah dalam Surah al-Rum ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Menurut tafsir Ibn Kathir, perasaan kasih dan sayang dalam perkahwinan merupakan sebahagian daripada tanda kebesaran Allah. Rasa ini tidak hanya merujuk kepada cinta fizikal tetapi juga cinta yang berkembang menjadi rahmat, di mana pasangan saling menghormati dan menyokong satu sama lain dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Sebaliknya, Valentine’s Day tidak membawa ruh yang sama bahkan budaya popular hari ini menjadikan ia sebagai hari yang membuka ruang kepada pergaulan bebas dan perzinaan. Maka, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Hal ini kerana ia mempunyai unsur-unsur agama lain. Amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Islam tidak menolak cinta tetapi ia menuntut cinta yang beradab dan berakhlak. Cinta yang halal adalah cinta yang mematuhi sempadan syarak. Maka, Sambutan Hari Suami Isteri adalah satu medan meraikan cinta yang diberkati sedang Valentine’s Day pula adalah cerminan budaya cinta yang bebas tanpa arah.

Dengan ini, menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat Muslim untuk memilih jalan yang mendidik jiwa dan memelihara maruah. Meraikan kasih sayang bukanlah satu kesalahan namun ia perlu dilakukan dalam kerangka yang diizinkan syarak demi keberkatan hidup di dunia dan akhirat.