3 Dekad MBI

Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) mengucapkan syukur setingginya ke hadrat Ilahi atas kejayaan Negeri Kelantan menyambut 3 dekad pemerintahan kerajaan Islam dengan tema Membangun Bersama Islam (MBI). Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan kerajaan negeri sejak dari awal pemerintahan pada 1990 hingga sekarang dan juga tidak dilupakan kepada seluruh rakyat khususnya pengundi wanita yang menyokong parti PAS dan mendukung serta turut menjayakan aspirasi sebuah kerajaan Islam sehingga mampu bertahan selama 30 tahun lamanya.

Tidak dinafikan, dasar MBI telah memberikan manfaat yang besar buat seluruh wanita Kelantan. Bagi melaksanakan dasar MBI, satu dasar khusus untuk wanita telah digubal bermula 2001 iatu Dasar Wanita Kelantan.

Matlamat utama Dasar Wanita Kelantan bertujuan membangun dan mengembangkan kemuliaan dan potensi wanita untuk kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Kelantan dan ummah seluruhnya berdasarkan penghayatan cara hidup Islam serta cara hidup yang berdasarkan ketuhanan, nilai dan kepercayaan kaum serta nilai moral sejagat.

Melalui dasar ini, beberapa polisi khusus berkaitan wanita telah diperkenalkan antaranya cuti bersalin daripada 42 hari ke 60 hari, melantik penghulu wanita tanpa mukim, menguatkuasakan etika pakaian sopan dan patuh syariah, larangan iklan memperagakan wanita dan pelbagai lagi pendekatan yang menyokong wanita untuk mencapai matlamat yang disebutkan.

Pada awal pemerintahan, banyak sangkaan telah dilemparkan khususnya tentang hak kebebasan wanita. Kerajaan Islam dikaitkan dengan wanita yang tidak membenarkan wanita memimpin, tidak menggalakkan wanita bekerja, kehidupan wanita terkongkong dan lain-lain. Ternyata selama 3 dekad ini, DMPNK yang mewakili wanita Kelantan telah diberikan peluang kepimpinan terbuka, ruang pendidikan tertinggi dan bekerjaya tetapi dalam masa yang sama teguh menjunjung syariat dan arahan Allah. Wakil DMPNK berada di dewan negara, dewan rakyat, dewan undangan negeri, majlis perbandaran kerajaan tempatan, majlis perundingan wanita Kelantan dan pelbagai lagi jawatan sama ada di peringkat tertinggi mahupun di akar umbi. Kewujudan wakil-wakil ini menunjukkan wanita diberikan kepercayaan sebagai penggubal polisi dan juga pelaksana.

Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah 2019

Pada hari ini DMPNK turut berbangga kerana Kelantan berjaya menjadi contoh sebuah kerajaan Islam yang bersifat sederhana, menjunjung dasar Islam dan mengangkat martabat wanita sebagai wanita yang dimuliakan, beragama, mempunyai hak dan tanggungjawab yang dilindungi, ibu kepada rumahtangga dan pemimpin dalam apa jua bidang yang diceburi dan turut menjadi contoh di peringkat antarabangsa. Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah telah berjaya mengumpulkan pemimpin wanita daripada hampir 40 negara di Kelantan dan mereka hadir untuk melihat dan merasai sendiri impak wanita berada dalam sebuah kerajaan Islam.

Akhir sekali, DMPNK ingin menyeru semua supaya berdoa kepada Allah agar merahmati dan memanjangkan umur kerajaan ini, langkah masih panjang. Masih banyak ilmu Islam yang perlu dikaji dan diterjemahkan secara kreatif dan inovatif bersesuaian dengan budaya luhur masyarakat Kelantan dan Malaysia. Kami juga berdoa semoga kita semua dilindungi dari wabak pandemik Covid-19 dan wanita Kelantan bersedia menjadi tonggak untuk menangani perubahan normal baharu dalam masyarakat. Semoga fasa seterusnya iaitu, Merakyat Membangun Bersama Islam, DMPNK diberi ruang yang lebih luas untuk melaksanakan Gagasan Wanita Solehah yang telah dirangka sebagai pelan bertindak Dasar Wanita Kelantan dan sama-sama berbakti serta mempertahankan kerajaan Islam yang kita cintai.

Selamat menyambut 3 dekad Membangun Bersama Islam dari Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan.

YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Ketua Muslimat DMPNK

Sumber: HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *