Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu persoalan. Apakah hukum swab test COVID ketika sedang berpuasa? Adakah ianya membatalkan puasa atau tidak? Mohon pencerahan dari pihak ustaz.
Jawapan ringkas :
Swab test atau ujian saringan COVID-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui hidung) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tersebut tidak sampai ke kawasan rongga dalam.
Huraian jawapan :
Ujian saringan, pengesanan dan pengesahan COVID-19 terbahagi kepada dua jenis. Pertama adalah Reverse Transcritase Polymerase Chain Reaction (Rt-PCR). Manakala yang kedua pula disebut sebagai Antigen Rapid Test (RTK Ag). Kedua-kedua ujian ini dijalankan menggunakan calitan melalui tekak ( Oropharyngeal swab) dan melalui hidung (Nasopharyngeal swab)[1]. Kedua-dua ujian ini dijalankan untuk mengesan jangkitan virus COVID-19.
Kaedah Nasopharyngeal swab ialah alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga hidung individu sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dengan kedalaman 18. lebih kurang 4.8 cm bagi kanak-kanak dan 8-12 cm bagi orang dewasa untuk mengambil sampel mukus. Manakala kaedah Oropharyngeal swab pula ialah alat swab dimasukkan ke dalam mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu di belakang anak tekak bagi mengambil sampel mucus.
Antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Ibn Al-Naqib Al-Misri menyatakan :
وصولُ عينٍ وإنْ قلَّتْ منْ منفدٍ مفتوحٍ إلى جوفٍ
“(Antara yang membatalkan puasa itu adalah) Sampai sesuatu benda ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka walaupun sedikit.”[2]
Sheikh Zakariya Al-Ansari menyebut :
(فَرْعٌ يُفْطِرُ) الصَّائِمُ أَيْضًا (بِوُصُولِ عَيْنٍ) وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ وَلَمْ تُؤْكَلْ عَادَةً كَحَصَاةٍ (مِنْ الظَّاهِرِ فِي مَنْفَذٍ) بِفَتْحِ الْفَاءِ (مَفْتُوحٍ عَنْ قَصْدٍ) لِوُصُولِهَا (مَعَ ذِكْرِ الصَّوْمِ إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا)
“Orang yang berpuasa terbatal puasanya dengan sampainya sesuatu benda walaupun sedikit seperti bijan dan walaupun yang masuk itu kebiasaannya benda yang tidak dimakan seperti batu kecil. Yang mana ianya masuk melalui saluran yang terbuka dengan sengaja. Ini kerana ianya sampai kepada apa yang dinamakan sebagai rongga yang terbuka.”[3]
Saluran yang terbuka itu termasuklah telinga, hidung, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Muqri’:
وَحُدِّدَ الظَّاهِرُ بِمَخْرَجِ الْحَاءِ الْمُهْمَلَةِ ثُمَّ دَاخِلُ الْفَمِ وَالْأَنْفِ إلَى مُنْتَهَى الْغَلْصَمَةِ وَالْخَيْشُومِ…
“Piawaian had zahir dihadkan dengan makhraj huruf Ha’, kemudian dalam mulut dan hidung sehingga penghujung anak tekak dan juga rongga hidung.”[4]
Justeru, menurut mazhab Al-Syafi’i, apa sahaja yang masuk melalui saluran tersebut boleh menyebabkan puasa seseorang terbatal. Tambahan lagi, jika prosedur swab test yang dijalankan masuk jauh ke dalam rongga hidung. Ia dikira boleh membatalkan puasa seseorang. Sheikh Zakariya Al-Ansari menyatakan hal ini :
(ثُمَّ أَلْحلَقَ وَمَا وَرَاءَ الْخَيَاشِيمِ) جَمْعُ خَيْشُومٍ وَهُوَ أَقْصَى الْأَنْفِ (جَوْفَانِ) فَالْوَاصِلُ إلَيْهِمَا مُفْطِرٌ
“Kemudian halkum dan di sebalik rongga hidung yang mana ia adalah pangkal hidung merupakan bahagian rongga. Apa-apa yang masuk ke dalam kedua-dua bahagian tersebut boleh menyebabkan puasa terbatal.”[5]
Pandangan ini berbeza dengan mazhab Maliki yang berpendapat bahawa puasa hanya terbatal jika ada sesuatu yang masuk ke dalam rongga melalui mulut.Apa-apa yang masuk melalui bahagian yang lain, maka ianya tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Abu Abdullah Al-Maliki menyebut :
وَالْإِفْطَارُ بِمَا يَصِلُ إلَى الْجَوْفِ أَوْ الْمَعِدَةِ مِنْ الْفَمِ
“Puasa terbatal dengan sampai sesuatu ke dalam rongga atau tali perut melalui mulut.”[6]
Sheikh Abu Al-Barakat Al-Dardir juga menyebut :
وَأَمَّا غَيْرُ الْمَائِعِ فَلَا يُفْطِرُ إلَّا إذَا وَصَلَ لِلْمَعِدَةِ مِنْ الْفَمِ
“Adapun selain cecair maka ia tidak membatalkan puasa melainkan jika ia sampai ke perut melalui mulut.”[7]
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke 3 tahun 2020, mesyuarat menetapkan :
“Prosedur saringan bagi mengesan penyakit COVID-19 adalah dengan mengambil sampel lender (mukus) yang berada di dalam rongga hidup sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut sehingga ke kawasan oropharynx (anak tekak) adalah TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Ianya selaras dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-87 pada 23 hingga 25 Jun 2009 yang telah memperakukan Panduang Berpuasa bagi Pesakit.”
Justeru, swab test atau ujian saringan COVID-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui mulut) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tersebut tidak sampai ke kawasan rongga dalam.
Nota Hujung :
[1] Rujuk laman My Health KKM di pautan https://www.myhealth.ph/covid-19-test-now-available-at-myhealth/
[2] Ibn Al-Naqib, Ahmad Bin Lu’lu, ‘Umdah Al-Salik wa ‘Uddah Al-Nasik (1982), cetakan Al-Syuun Al-Diniyah,Qatar, h.117.
[3] Al-Ansari, Zakariya Bin Muhammad, Asna Al-Matalib Syarh Raudh Al-Talib, Dar Al-Kitab Al-Islami, j. 1 h.415
[4] Ibn Al-Muqri’ , Ismail Bin Al-Muqri’, Raudh Al-Talib wa Nihayah Al-Matlab Al-Raghib(2013), Dar Al-Dhiya’, Kuwait, j. 1 h.335-336
[5] Ibid.
[6] Abu Abdullah, Muhammad Bin Ahmad, Manh Al-Jalil Syarh Mukhtasar Al-Khalil (1989), Dar Al-Fikr, Beirut, j.2 h.137
[7] Abu Al-Barakat Al-Dardir, Ahmad Bin Muhammad, Aqrab Al-Masalik ila Mazhab Al-Imam Malik, Dar Al-Ma’arif, j.1 h.699.
Artikel telah disunting oleh penulis wk.com
Untuk rujukan lanjut boleh ke laman web muftiwp.gov.my