Terbaru kita dikejutkan dengan video muzik terbaru oleh band Artis wanita Malaysia iaitu ‘Dolla’ apabila selepas satu jam melancarkan single lagu berjudul ‘Bad‘ telah meraih 100,000 tontonan di YouTube dan menduduki tangga pertama dalam carta trending di YouTube 24 jam selepas ditayangkan. Setelah 2 Hari sahaja mencapai 1.3 juta penonton.
Amat mengejutkan dan sangat mendukacitakan dengan menampilkan tema K-POP,band yang dianggotai 2 orang Melayu Islam dan 2 lagi non-muslim ini tanpa segan silu berani menari rancak dengan berpakaian menjolok mata, hanya memakai short pants atas paras peha dan menampakkan sebahagian besar tubuh badan yang wajib dilindungi seorang wanita Islam. Lebih parah menampilkan aksi menghairahkan dan melampaui batas seorang muslimah, sekaligus menghakis nilai malu, maruah dan kehormatan diri. Namun perbuatan ini ternyata meraih ribuan pujian daripada kalangan belia remaja, bahkan golongan dewasa yang sepatutnya waras membimbing mereka daripada kemungkaran. Jika diperhatikan, penampilan mereka telah pun trending sejak tahun lalu ,akan tetapi seolah tiada teguran daripada mana-mana pihak yang berautoriti. Kita tidak pasti samada mereka telah diprogramkan begitu melalui tangan antarabangsa atau meniru gaya kpop antarabangsa.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Siapa di antara kalian yang melihat suatu kemungkaran, maka cegahlah dengan tangannya. Jika belum mampu, cegahlah dengan lisannya. Jika belum mampu, dengan hatinya, dan pencegahan dengan hati itu adalah selemah-lemah iman.” (HR. Muslim)
Normalisasi dosa yang berlaku adalah hasil proses menghilangkan sensitiviti umat Islam dan masyarakat umum terhadap perkara-perkara dosa dan mungkar. Sehinggalah langkah ini menjadikan sesuatu yang abnormal kepada normal serta boleh diterima oleh masyarakat Malaysia dan khususnya anak muda kini rancak menzahirkan pemikiran liberalisasi agama dan normalisasi dosa. Kita sendiri telah menyaksikan pelbagai peristiwa dan kenyataan yang pelik menerusi media massa dan saluran-saluran perdana yang lain termasuk sebahagian siaran-siaran televisyen yang mana kualiti dan nilai moral Islam amat menyedihkan.
Sungguh menakutkan, apabila dosa dan mungkar yang dilakukan setiap saat terasa ringan dan biasa. “Alah semua orang buat”, “Siapa kita nak menghukum mereka”, “Awak nak tegur saya, solat awak dah sempurnakah””ini marketing sahaja”. Ayat wajib seperti ini akan diutarakan apabila ada pihak yang cuba menegur. Bayangkan pada masa akan datang meminum arak dipandang biasa, hubungan songsang dianggap fitrah manusiawi, tidak menutup aurat dikatakan perkara kecil dan hak asasi manusia? Bahkan tidak keterlaluan untuk kita katakan perbuatan dosa dan mungkar adalah rutin harian kerana hati dan iman kita sudah lali dan sebati dengan kemungkaran. Hakikat yang perlu diketahui dosa tetap dosa, mungkar tetap mungkar.
Benarlah kata-kata Saidina Anas bin Malik:
إِنَّكُمْ لَتَعْمَلُونَ أَعْمَالًا، هِيَ أَدَقُّ فِي أَعْيُنِكُمْ مِنَ الشَّعَرِ، إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّهَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ المُوبِقَاتِ
“Kamu melakukan sesuatu perkara yang kamu melihatnya dengan pandangan yang ringan (halus), seakan lebih ringan dari rambut, sedangkan kami di zaman Rasulullah S.A.W melihatnya sebagai sesuatu yang membinasakan.”
(HR. al-Bukhari)
Dengan ini kami menyeru pihak berwajjb untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan pihak-pihak yang terlibat. Penglibatan pro aktif masyarakat juga sangat mendesak sekarang;
- Meningkatkan pendidikan keagamaan, membuat bantahan dan boikot.
- Membuat teguran dan memberikan kefahamana kepada rakyat khususnya remaja supaya tidak keliru.
- Mempertingkatkan program positif mesra remaja supaya mereka diperkenalkan dengan hiburan yang baik.
- Menggesa tindakan dan hukuman yang sesuai bagi mencegah kemungkaran dan lain-lain.
Semua ini memerlukan sinergi yang bersungguh-sungguh daripada masyarakat, ilmuan dan pihak berkuasa. Tetapi sekiranya masing-masing mengambil sikap pasif dan reaktif dan menolak sinergi positif, beban keruntuhan generasi ummah terpaksa kita hadapi dalam masa terdekat.
Tinta FB Ustazah Amni Adnan