Wanitakelantan.com (3)

Tanah suci Palestin bukan sekadar lokasi geografi ia adalah amanah sejarah, maruah umat dan lambang perjuangan yang diwarisi sejak zaman para anbiya’. Namun hari ini, bumi itu terus menangis. Dentuman bom mengatasi suara azan, dan setiap nafas rakyatnya adalah perjuangan untuk terus hidup. Dunia melihat, tetapi ramai masih diam. Adakah kita juga mahu terus jadi penonton?

Sedangkan setiap hari anak kecil mereka rebah tanpa sempat mengenal dunia. Tubuh mereka hancur sebelum sempat belajar menyebut “Allah” dengan sempurna. Para ibu menangis sambil mendakap jasad anak yang sudah tidak bernyawa. Suami hilang isteri, isteri kehilangan anak, dan dunia kehilangan kemanusiaan.

Di sebalik kaca telefon kita melihat, namun jari hanya menggeser skrin, hati masih beku dan hidup diteruskan seperti tiada apa-apa. Apakah kita sudah terlalu biasa dengan penderitaan, hingga hilang rasa untuk peduli? Apakah darah mereka tidak cukup merah untuk membuka mata kita?

Sedangkan Nabi kita sendiri pernah berdiri sepanjang malam mendoakan umatnya. Hati baginda terbelah setiap kali mendengar penderitaan umat, walau baginda jauh dari mereka. Tapi kita? Adakah cukup sekadar rasa kasihan sepintas lalu, lalu kembali sibuk dengan dunia yang fana?

Adakah kita terus mahu menjadi penonton kepada drama dunia yang tiada sudahnya?
Skripnya masih sama, tangisan, darah dan kehancuran. Bezanya cuma tempat dan watak, tapi mangsanya tetap umat Islam. Hari ini Palestin, esok mungkin kita. Kita hanya menonton, tapi tidak pernah benar-benar hidup dalam ceritanya. Kita tahu segalanya, tetapi rasa hampir tiada.

Berapa lama lagi kita mahu duduk selesa di kerusi penonton, sedang pentas dunia terus menyajikan derita yang tidak berpenghujung? Sampai bila simpati sekadar empati, sedang mereka menanti tindakan dan solidariti?

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 193:
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (supaya) agama itu hanya untuk Allah.”

Ayat ini bukan semata seruan mengangkat senjata, tetapi panggilan untuk membela kebenaran, mengangkat keadilan dan menyambung perjuangan. Ia satu ajakan agar kita sedar tindakan kita walau kecil tetap dikira di sisi Allah.

Rakyat Palestin diuji saban hari dengan kesakitan dan kehilangan. Mereka bukan hanya kekurangan makanan atau ubat-ubatan, tetapi kehilangan keluarga, tanah air dan rasa aman. Sedangkan kita di sini hidup selesa, tidur lena. Masih layakkah disebut peduli, jika simpati tidak berubah menjadi erti?

Nabi Muhammad SAW sendiri menunjukkan contoh yang jelas dalam membela umat tertindas. Dalam Perjanjian Hudaibiyah, baginda terpaksa menahan diri demi keamanan, tetapi tidak pernah melupakan mereka yang teraniaya di Mekah. Doa baginda untuk umat sentiasa meniti di bibir, bahkan dalam sujud-sujud terakhir baginda pun umatnya tetap dalam ingatan.

Diceritakan juga bahawa Rasulullah SAW pernah bangun malam menangis memohon kepada Allah agar umatnya tidak ditinggalkan. Bukankah kita juga sebahagian daripada umat itu? Tidakkah kita malu jika kita tidak sedikit pun merasa terpanggil dengan penderitaan saudara kita di Palestin?

Kata al-Imam Hasan al-Banna rahimahullah:
“Kewajipan hari ini lebih banyak daripada masa yang ada. Maka jangan disibukkan oleh perkara remeh, sehingga lupa tanggungjawab besar yang menanti.”

Pesan ini amat dalam. Jangan tunggu kita jadi hebat untuk bantu. Yang penting adalah rasa prihatin dan keinginan untuk bertindak, walau dengan sekadar perkongsian, doa, atau sumbangan. Semua itu nilai di sisi Allah.

Kata-kata Imam Ibn Qayyim rahimahullah pula menjentik hati:
“Antara tanda hati yang hidup ialah ia merasa sakit apabila melihat kezaliman, walau tidak terkena pada dirinya.”

Jika hati kita masih belum terusik dengan penderitaan Palestin, maka tanyalah pada hati apakah hati itu masih hidup?

Kita tidak perlu ke sana untuk menjadi penyelamat. Cukup dengan menjadi mata pena yang menyedarkan, menjadi tangan yang menghulur, dan menjadi lidah yang mendoakan. Jangan kita hanya tahu. Jangan kita hanya simpati. Kesedaran tanpa tindakan itu sia-sia. Umat ini tidak butuh simpati kosong. Mereka butuh solidariti sebenar.

Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Mari kita renung. Sudahkah kita benar-benar mengambil berat tentang umat ini?

Semoga Allah SWT membangkitkan dalam diri kita kepekaan, semangat dan kesungguhan untuk terus peduli dan membantu setakat mana yang kita mampu. Biar sekecil doa, biar sesingkat sumbangan, asal ianya lahir dari hati yang tulus. Kerana di sisi Allah, bukan besar kecilnya usaha yang dinilai, tetapi keikhlasan yang tersembunyi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *