Cover Ppwk Logo

Pengenalan PPWK

Pusat Pembangunan Wanita Kelantan atau dikenali sebagai PPWK telah ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah kelolaan Urus Setia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan. Pada hari ini, terdapat 45 PPWK di seluruh negeri Kelantan.

Sepanjang tempoh ini, PPWK telah membuka peluang yang sangat besar kepada golongan sasar iaitu wanita terutamanya armalah, beliawanis dan OKU. Kini di bawah kelolaan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Kerajaan Negeri Kelantan, PPWK terus mengorak langkah untuk melaksanakan agenda di bawah Dasar Wanita Kelantan.

PPWK berperanan untuk memberikan kemahiran kerajinan tangan melalui bidang jahitan, kraftangan, masakan dan lain-lain bidang yang berkait rapat dengan wanita. Sepanjang tempoh operasi, pusat ini telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dan mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan wanita dan beliawanis tempatan.

Objektif Penubuhan

Objektif penubuhan PPWK adalah memberi latihan kemahiran menjahit agar sebahagian daripada beban dalam menyediakan pakaian kepada keluarga dapat dikurangkan, memberi latihan kemahiran menjahit agar golongan yang kurang berkemampuan ini dapat menambah sumber ekonomi mereka dengan mengambil upah menjahit serta mewujudkan “one stop centre” bagi wanita untuk melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan tempat masing-masing. Selain itu, ia juga adalah untuk meningkatkan jatidiri dan keyakinan yang tinggi melalui himpunan mingguan yang mana mereka boleh berkongsi pandangan dan masalah dan melahirkan masyarakat yang harmoni saling bantu-membantu dan bekerjasama.

Kelas Jahitan

    Kronologi penubuhan

Kronologi penubuhan PPWK bermula pada tahun 1990an iaitu dengan mengadakan program Jom Buat Duit Dari Rumah di 45 DUN dan pada tahun 2005, Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) telah ditubuhkan di 45 DUN di bawah kelolaan Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan.

Kesinambungan daripada program ini, Kerajaan Negeri Kelantan menghantar seramai lapan orang peserta bagi menyertai kursus Sulaman Hjh. Rosma di Bukit Tinggi, Indonesia dan telah berjaya menamatkan pengajian sulaman selama enam bulan di sana.

Hasil daripada kerjasama tersebut, maka Pusat Sulaman Negeri Kelantan (PSNK) ditubuhkan pada tahun 2011. Julai 2011 pengambilan pelajar siri pertama dan telah berjaya melahirkan 20 orang graduan pada tahun 2012, tahun 2013 seramai 17 orang graduan dan pada tahun 2017 seramai 4 orang graduan.

            Melalui manifesto 2008, satu projek khas untuk wanita telah dijalankan iaitu Pusat Kemahiran Wanita Kelantan (PKWK) pada tahun 2013. Ia telah ditubuhkan untuk menaungi dan menyelia dan menyelia semua pusat kemahiran yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.  PKWK adalah sebahagian daripada agenda ke arah menjaya Pusat Darul Niswah yang akan berfungsi sedikit masa lagi.

         PKWK ditubuhkan bagi menggerakkan segala kelas kemahiran sebagai teras aktiviti utama di dalam masyarakat setempat. Antara fungsi PKWK adalah Pusat Bersepadu Wanita. Pusat ini akan menjadi satu pusat yang akan memberi latihan kemahiran seni kraftangan dan kerajinan tangan kepada wanita Kelantan. Di samping itu, pusat ini juga akan menjadi bengkel jahitan dan kraftangan, tempat khusus serta tempat untuk menghimpunkan para penggiat dan pencinta seni warisan dalam segenap lapangan dari semasa ke semasa.

Pada tahun 2016, sebanyak 16 buah PPWK di 14 buah parlimen telah dinaiktaraf menjadi Mini Darul Niswah bagi memperkasakan agenda pembangunan dan berkebajikan berteraskan pendekatan wanita berdikari dengan memanfaatkan ruang yang sedia ada sebagai Pusat Aktiviti Sepadu Wanita yang patuh syariah. Pada tahun 2019, Mini Darul Niswah fasa 2 diteruskan dan ditambah 14 buah di setiap parlimen menjadikan keseluruhannya berjumlah 30 buah.

Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri Kelantan melalui kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia, PKINK, serta Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita melalui U-KeKWa telah menubuhkan Pusat Latihan Wanita OKU dan Armalah (PLWOA) bertujuan menjadi pusat kemahiran bersepadu khusus kepada golongan wanita kurang upaya dan armalah dalam usaha memperkasakan sosial dan ekonomi golongan ini.

PLWOA telah dirasmikan pada 19 Februari 2018 oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan bertempat di tingkat 2 Bazar Siti Aisyah Kota Bharu. PLWOA mula beroperasi pada 1 Mei 2017 dan telah menerima kunjungan daripada pelbagai pihak antaranya Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Tunku Puan Temenggong Kelantan, EXCO Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu dan penyelidik dari Belanda (Dr. David).

Pelbagai kemudahan disediakan bagi menjadikan pusat ini mesra OKU antaranya menyediakan tandas OKU dan lif untuk memudahkan pergerakan OKU ke setiap tingkat.

Pusat ini di bawah seliaan Persatuan Kemahiran Wanita Kelantan (PKWK), sebuah NGO yang berdaftar di bawah seliaan U-KeKWa. Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya bengkel jahitan ekspress, kelas jahitan berkala, kelas Al-Quran braille dan aktiviti cuti sekolah seperti kraftangan, jahitan kreatif dan kulinari.

Bilangan pelajar

Pada tahun 2019, seramai 408 orang graduan yang telah berjaya bergraduasi. Ini menunjukkan bahawa PPWK telah berjaya melahirkan 3,156 orang graduan di 45 PPWK seluruh Kelantan dan seramai 5,905 orang pelatih yang berdaftar sejak tahun 2005 sehingga 2019.

Majlis Graduasi

Majlis Graduasi PPWK diadakan pada setiap tahun merupakan majlis penyampaian sijil kemahiran simbolik kepada kemuliaan ilmu graduan dan tanda pengiktirafan kepada graduan yang telah berjaya menamatkan pembelajaran kemahiran dalam bidang seni jahitan. Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh YABhg Datin Bentara Kanan Hajah Siti Zabidah Abd Hamid.

10 anugerah turut disampaikan dalam majlis ini antaranya Anugerah Pelajar Terbaik Parlimen, Anugerah Datin Tuan Sabariah (Berpremis dan Tanpa Premis), Anugerah Gunting Emas, Anugerah Jarum Emas, Anugerah Datin Siti Zabidah, Anugerah PPWK Berpotensi, Anugerah PPWK Dinamik dan Anugerah EXCO. Turut menampilkan dua anugerah baharu iaitu Anugerah Ikon Usahawan Muda Jahitan serta Anugerah Ikon Alumni Jahitan Wanita Kelantan. Anugerah tersebut disampaikan oleh Datin Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi, YB Rohani Ibrahim, dan Datin Bentara Setia Hajah Tuan Sabariah Tuan Ishak .

Sijil disampaikan oleh Yang Berhormat ADUN dan Penyelia Parlimen / DUN kepada graduan DUN masing-masing.

Produk PPWK

i. Mamapride

Pelancaran seluar bersalin mesra aurat Mamapride telah dilancarkan oleh YB Dato’ Hajah Mumtaz Md. Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Kerajaan Negeri Kelantan pada 16 Jun 2014 semasa program Sambutan Hari Wanita di Kelantan Trade Centre (KTC).

Usaha penghasilan seluar bersalin yang mematuhi syariah ini turut mendapat perakuan dan sokongan daripada Mufti Wilayah Perseku-tuan, Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Selain itu mufti Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha ini.

Seluar bersalin ini telah digunakan oleh ibu-ibu yang bersalin di beberapa hospital mesra Mamapride di seluruh Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajara, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.

ii. Buku Teks PPWK

Buku Teks Pusat Pembangunan Wanita Kelantan telah dilancarkan pada tahun 2012 semasa Majlis Graduasi PPWK kali ke-7 bertempat di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darul Naim. Buku Teks PPWK ini telah diguna pakai oleh semua pelatih di 45 buah PPWK.

iii. Buku Jelira

Buku Jelira merupakan buku kulinari terbitan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan. Buku ini merupakan buku koleksi resepi yang dikumpulkan me-lalui program Kursus Kulinari Desa Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) di seluruh negeri Kelantan.

Buku ini telah dilancarkan pada 24 Januari 2018. Buku ini sangat sesuai dijadikan rujukan untuk semua golongan sama ada pelajar, tenaga pengajar dan juga suri rumah yang berada di desa dan bandar. Ia merangkumi bahan-bahan dan penyediaan memasak bagi 12 bahagian resepi.

Selain itu, buku ini sangat istimewa kerana terdapat doa-doa semasa di dapur, informasi, tip serta fiqh kulinari untuk panduan para pembaca.

iv. CSR

 Projek CSR atau dikenali juga sebagai tanggungjawab sosial korporat antara projek yang dijalankan di bawah Unit Kemahiran Wanita. Ia memberi pendedahan serta kesedaran kepada wanita untuk meningkatkan kemahiran lanjutan dan mampu melahirkan sekurang-kurangnya 3 orang usahawan yang berjaya di peringkat DUN.

Pada tahun 2016, sebanyak 450 pasang kain diberikan kepada 45 DUN untuk dijahit oleh para guru PPWK dan diserahkan kepada 10 orang anak yatim di DUN masing-masing. Pada tahun 2019 projek ini diteruskan lagi tetapi berlainan metod iaitu setiap PPWK perlu menghasilkan 10 unit soft toys dan akan diagihkan oleh Majlis Perundangan Wanita Parlimen (MPWP) kepada klinik, hospital kerajaan dan swasta dalam parlimen masing-masing sempena Hari Jururawat 2019. Bahan-bahan untuk soft toys disediakan oleh U-KeKWa. Projek ini melibatkan AJK Pengurusan, Guru , Pelatih dan Alumni PPWK.

v. Sinergi

Pada 18 – 19 September 2019, U-KeKWa dengan kerjasama UiTM telah memasuki Pertandingan Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) Zon Timur 2019 di UiTM Jengka.

Antara kejayaan yang telah diperoleh adalah Anugerah Penjanaan Pendapatan Sebenar Terbaik (U-KeKWa Synergy), Anugerah Fasilitator Terbaik (Ts. Zafian : U-KeKWa Synergy), Anugerah Kik Hibrid Terbaik Bidang Inovasi Sosial (Kategori Penciptaan : U-KeKWa Synergy) dan Anugerah Kik Hibrid Terbaik Bidang Inovasi Sosial (Kategori Penambahbaikan : U-KeKWa Synergy).

Kesinambungan daripada itu, sekali lagi U-KeKWa dengan kerjasama UiTM telah terpilih dalam pertandingan Konvensyen KIK UiTM Peringkat Kebangsaan pada  5  – 7  November 2019 di UiTM Dungun. Alhamdulillah, Anugerah KIK Hybrid Terbaik, Anugerah Fasilitator Terbaik : U-KeKWa Synergy dan Anugerah Penarafan Perak adalah di antara anugerah yang telah diperolehi oleh U-KeKWa Synergy pada hari itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *