COVER GONYOH GAHA

Kerajaan Negeri Kelantan komited meneruskan agenda mentadbirurus negeri ini berslogankan Kemakmuran, Kesejahteraan, Kebajikan (3K) dengan menjadikannya budaya gerak tindak seluruh agensi Kerajaan dan badan bukan Kerajaan (NGO) melalui jalinan kerjasama strategik.

Hal ini menguntungkan rakyat dari aspek kesejahteraan hidup dunia akhirat yang diperolehi daripada aktiviti kebajikan pimpinan negeri manakala negeri pula meraih kemakmuran dan beroleh keberkatan natijah daripada permuafakatan rakyat dan pemimpin yang saling berlumba-lumba beramal bakti demi memberi manfaat sesama manusia sebagaimana mafhum hadis berikut:

“Barangsiapa yang meringankan beban dan kesulitan orang mukmin, maka Allah akan melapangkan kesulitannya di hari akhirat kelak. Barangsiapa yang memudahkan orang lain, Allah juga akan mempermudah urusannya di dunia dan akhirat” (HR: Muslim).

Menyedari ganjaran pahala yang dijamin secara langsung oleh Allah SWT kepada hambanya yang “fastabikul khairat” dan “yanfa’ulinnas” maka Skuad Gonyoh Gaha menganjurkan program gotong-royong secara bersepadu pada hari ini, 10 Disember 2019 bertempat di Bandar Bentara Tumpat, Kelantan bermula jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang.

Gotong-royong Perdana bertemakan “Gonyoh Gaha Sapa Bersih” melibatkan pihak seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Tumpat, Majlis Tindakan DUN (MTD) Kelaboran, MTD Pengkalan Kubor manakala pihak NGO pula membabitkan Khidmat Malaysia, Misi Kembara Dakwah dan Jabatan Amal Malaysia Kelantan.

Berteraskan budaya berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, pelancaran dan gerak kerja gonyoh gaha di lokasi ditenggelami banjir di seluruh kawasan Tumpat dirasmikan oleh YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurut beliau, Allah menolong Kelantan dengan memberi amaran menghadapi persiapan banjir maka seperti di Indonesia, kita belajar cara ramah bencana (disaster friendly) dengan bersangka baik menukar panggilan mangsa banjir kepada sahabat banjir bagi mempersiapkan mentaliti penguni lokasi terlibat banjir bersedia bertindak mengikut arahan pihak berkuasa dan tidak panik.

“Bah Kuning 2014 melibatkan 500,000 rakyat Kelantan dijadikan iktibar kepada sahabat banjir. Perkerjaan sukarela adalah perbuatan yang difikir oleh orang yang beriman dan bertamadun tinggi’, ujarnya.

“Di negara maju, terdapat satu juta sukarelawan berjadual yang merasakan khidmat mereka amat diperlukan. Insya Allah dalam masa lima tahun akan datang, banjir di Kelantan menyerupai banjir di Jepun yang berair jernih ibarat air kolam. Maknanya usaha pembersihan kawasan mesti bermula dari rumah masing-masing pada masa sekarang untuk menghadapi banjir dengan menjaga kebersihan dan persiapan entiti khidmat sukarela yang kuat dan saling berukhuwah”, gesanya.

Turut hadir menyinsing lengan membantu operasi pembersihan kawasan terkena banjir ialah Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, YB Adnan Hassan, YB H Mohd Rusli Abddullah di sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara dan sekolah yang ditenggelami banjir seperti Sekolah Menengah Ugama (Arab) Nurul Huda Kajang Sebidang, Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pa’ Yong, SK Sri Tumpat 1 dan 2, SK Pengkalan Kubor 1 dan 2, SK Geting dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang 4.

Syabas dan tahniah kepada pimpinan, pihak jabatan dan agensi Kerajaan, NGO serta individu perseorangan yang terlibat di dalam usaha kebajikan sekali gus memperkuatkan silaturahim dan persaudaraan sesama watan.

Artikel oleh Norzana Razaly
Dari Page UPKN Kelantan http://upknkelantan.com/pemimpin-ngo-kelantan-singsing-lengan-sertai-gonyoh-gaha/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *