Belaian Agung Sang Hawa Millenial 1

Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا

Jagalah wanita sebaiknya. Kerna wanita itu dicipta dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk paling bengkok adalah pada bahagian paling tinggi. Jika kau cuba meluruskannya, ia akan patah. Namun jika kau abaikannya, ia akan kekal selama-lamanya bengkok. Maka, jagalah wanita sebaiknya.”

[HR Bukhari & Muslim]

ASAL USUL KEJADIAN WANITA

Ketika Nabi bersabda “…kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk…”, adakah bermakna mereka dicipta dari tulang rusuk Nabi Adam?

Ramai mufassir berpandangan sedemikian. Walaubagaimanapun terdapat pandangan yang mengatakan hadis ini sekadar perumpamaan bagi menggambarkan sifat wanita. Mereka tidak berasal daripada tulang rusuk, tetapi sifat mereka umpama tulang rusuk.

Gambar Hiasan : Pinterest

Sekiranya kita menerima pandangan kebanyakan mufassir, setelah Allah ciptakan manusia pertama iaitu Nabi Adam daripada tanah, beliau tinggal di dalam syurga bersendirian tanpa pasangan kerana ketika itu, baginda adalah satu-satunya manusia yang dicipta.

Namun begitu, Allah turut mencipta manusia memiliki fitrah untuk berpasangan dan bersosial. Menjadi satu-satunya manusia di syurga membuat baginda rasa sangat kesunyian.

Maka Allah SWT tidak membiarkan baginda lama keseorangan. Diambil satu tulang rusuk kiri baginda dan diciptakan daripadanya pasangan hidupnya yang kita kenali sebagai Hawa.

Gambar Hiasan : Pinterest

Daripada perkongsian hidup antara Adam dan Hawa, maka lahirlah zuriat daripada benih-benih keduanya. Beranak-pinak dan bercucu cicit. Itulah secara ringkas asal usul kejadian manusia.

Daripada asal-usul wanita ini, kita dapat memahami bahawa wanita ialah sebahagian daripada lelaki. Walau sehebat dan sekuat manapun seorang lelaki, tanpa wanita pasti hidupnya tidak akan lengkap.

Begitu juga dengan wanita. Mereka diciptakan dari lelaki. Wanita tak akan mampu hidup tanpa lelaki langsung dalam hidup mereka. Baik seorang suami, ayah, adik beradik lelaki, anak, atau sesiapa sahaja di sekeliling yang terlibat dalam hidup mereka.

Gambar Hiasan : Pinterest

Secara logiknya, lelaki ada tulang rusuk yang banyak. Sekiranya diambil satu, masih ada tulang-tulang rusuk yang lain. Kita boleh tafsirkan bahawa tanpa wanita, seorang lelaki masih boleh hidup, cuma tidak lengkap kerana telah kurang satu bilangan tulang rusuk.

Berbeza dengan wanita, mereka telah dijadikan daripada tulang rusuk lelaki. Sekiranya wanita ini menjauhkan dirinya daripada lelaki, tidak semestinya seorang pasangan, tetapi sesiapa sahaja seperti bapa, bapa saudara dan majikan, maka hidup wanita itu pasti akan rosak. Sekiranya hidup seorang wanita itu hanya dikelilingi oleh wanita sahaja tanpa lelaki, maka dia tidak akan mampu untuk mengurus kehidupan ini.

Tanpa wanita, hidup seorang lelaki mungkin tidak akan lengkap. Namun tanpa lelaki, wanita tidak mampu hidup.

Gambar Hiasan : Google

IDENTITI WANITA

Menurut pandangan kedua pula, tulang rusuk adalah simbolik sifat wanita. Nabi SAW menjelaskan lagi berkenaan identiti wanita, “…dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang paling bengkok ialah yang berada paling atas”.

Sekiranya kita lihat anatomi manusia, semakin ke bawah, semakin jauh kedudukan antara tulang rusuk kiri dan kanan serta semakin melurus hingga yang paling bawah hampir tegak. Manakala tulang rusuk di bahagian paling atas ialah yang paling melekung, hampir seperti huruf ‘C’.

Para ulamak juga ada membahaskan maksud bengkok yang disebut supaya kita lebih faham maksud tersirat boleh diambil daripada hadis tersebut. Menurut ulamak, bengkok ini boleh dikaitkan dengan sesuatu yang paling banyak masalah. Sesuatu yang lurus itu normal, manakala sesuatu yang bengkok itu tidak normal. Oleh itu, semakin bengkok, semakin tidak normal dan semakin banyak masalah.

Gambar Hiasan : Google

Apabila baginda Rasulullah SAW menyebut yang paling tinggi ialah yang paling bengkok, bermaksud yang berada di kedudukan paling tinggi itu ialah yang paling bermasalah.

Apa yang dimaksudkan paling tinggi itu? Sebahagian ulamak menyebut yang paling tinggi ialah merujuk kepada anggota yang paling tinggi pada tubuh badan wanita. Mereka mengatakan lidah sebagai anggota yang paling tinggi kerana disitulah punca banyak kesalahan yang dilakukan oleh para wanita. Lidahlah tempat yang paling banyak timbulnya masalah di kalangan wanita.

Namun, saya berpendapat yang paling tinggi pada badan wanita itu ialah akal. Ia bertepatan dengan hadis lain bahawa hakikat orang perempuan ini mereka mempunyai kekurangan dari sudut akal dan agama. Merujuk daripada hadis ini, ia menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan paling bengkok itu ialah pemikiran.

Gambar : Google

Daripada buku “Men Are From Mars, Women Are From Venus” tulisan John Gray, kita dapat melihat perbezaan antara sikap dan cara berfikir lelaki dan perempuan. Seorang lelaki ini bertindak melalui rasional dan logik akal, manakala seorang perempuan bertindak melalui sentimen dan perasaan. Ini bermakna perasaan mampu mempengaruhi akal seorang wanita. Dari pemikiran, wanita kadangkala boleh hilang pertimbangan, sehingga menyebabkan mereka boleh berkata apa sahaja dan boleh buat apa sahaja tanpa berfikir panjang.

Ini masalah yang berlaku kepada kebanyakkan wanita. Ada kala akal menjadi terlalu lemah sehinggakan ia dipengaruhi oleh nafsu dan perasaan menyebabkan pemikiran wanita ini tidak rasional.

Bengkok ini telah membentuk identiti seorang wanita. Manusia memang tidak sempurna dan mempunyai kelemahan. Namun bagi wanita, itulah keunikan mereka.

Gambar Hiasan : Pinterest

Seorang lelaki yang sudah bersedia untuk berkongsi hidup bersama wanita perlu terima keunikan ini dan memainkan peranan sebaiknya sebagai lelaki. Keunikan itulah penyeri hidup berpasangan.

Lelaki yang enggan berkahwin atas alasan tidak mahu serabut mengurus masalah wanita tidak semestinya akan tenang tanpa masalah. Tanpa wanita, boleh jadi hidup mereka akan lebih serabut kerana melanggar sunnah dan fitrah.

Setidaknya, keserabutan itu punya seri.

MENGURUS WANITA

“Jika kau cuba meluruskannya, ia akan patah. Namun jika kau abaikannya, ia akan kekal selama-lamanya bengkok. Maka, jagalah wanita sebaiknya.”

Dalam potongan hadis di atas, Rasulullah SAW tidak memberikan solusi atau kaedah yang konklusif untuk kita uruskan seorang insan bergelar wanita ini, tetapi baginda hanya berpesan sekiranya kita memaksa untuk meluruskannya, ia pasti akan patah. Maksudnya, kita sedang cuba mengubah fitrah wanita. Hasilnya samada gagal, atau kita akan merosakkan fizikal, mental dan spiritual mereka.

Gambar Hiasan : Pinterest

Namun begitu, sekiranya kita hanya membiarkan sahaja, mereka akan terus bengkok dan bermasalah. Maka membiarkannya juga bukanlah satu pilihan.

Oleh itu, pilihan yang ada hanyalah menjaga dan memelihara mereka sebaiknya. Uruslah ketidaksempurnaan dan kelemahan yang ada pada wanita itu supaya ia menjadi suatu ketidaksempurnaan yang indah, suatu kecacatan yang mencantikkan. Bukan semua yang cacat itu buruk dan jelek.

Gambar Hiasan : Pinterest

Antara kecacatan yang indah ialah lesung pipit. Secara biologi, lesung pipit merupakan satu kecacatan yang sepatutnya tiada pada seorang manusia normal. Ia merupakan deformasi otot wajah. Namun, apabila seseorang yang mempunyai lesung pipit itu tersenyum, dia terlihat lebih manis dan menarik. Ia menjadi satu daya tarikan kepada orang lain yang melihat.

Gambar Hiasan : Google

Dari sudut yang lain, hadis ini ditujukan buat kaum Adam supaya mengambil berat kepada kaum Hawa yang memerlukan perhatian mereka. Sikap kaum Adam yang tidak bertanggungjawab atau salahlaku dalam mengurus wanita telah menyumbang kepada kempen feminisme untuk menjadikan wanita berdikari tanpa lelaki.

Penyebaran ideologi feminisme ini akan menyebabkan wanita lari daripada fitrah kejadian mereka. Akhirnya menimbulkan lebih banyak masalah berbanding menyelesaikan masalah. Ada banyak masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh komuniti wanita secara bersendirian dan hanya boleh diselesaikan dengan keberadaan lelaki. Ketiadaan lelaki dalam hidup wanita akan menyebabkan masalah tidak dapat diselesaikan oleh wanita, lalu akan menghimpit kehidupan mereka lebih teruk lagi sehingga wanita itu sendiri tenggelam dalam masalah. Akhirnya membawa kepada situasi yang lebih teruk seperti tekanan, kemurungan, depresi dan sebagainya.

Dakyah feminisme ini akan dikupaskan lebih lanjut dalam hadis akan datang. InsyaAllah.

(Alang Ibn Shukrimun)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *