Misi Kashmir Black

Saya diminta oleh editor pejabat supaya menulis artikel untuk disumbangkan ke laman sesawang wanitakelantan.com. Apabila ditanya mahu tulis mengenai apa? Katanya bebas. Termenung saya dibuatnya, kerana apabila pillihan terlalu luas rupanya boleh buat kita hilang idea untuk pilih yang mana satu yang sesuai.

Bergelut dengan urusan pejabat dan juga peperiksaan akhir di OUM, akhirnya saya siapkan artikel yang bertajuk Wanita dan Pengorbanan. Tetapi selepas disemak beberapa kali, saya merasa kekurangan sesuatu dalam tulisan tersebut.

Akhirnya saya membuat keputusan untuk menulis catatan ini, beberapa jam sebelum saya bertolak ke Kashmir di bahagian India iaitu di Srinagar.

Tahun ini merupakan tahun kelapan saya mengikuti Misi Kemanusian bersama Yayasan Amal Malaysia. Apa yang menarik saya untuk menyertai misi ini saban tahun adalah untuk membantu rakyat Malaysia bagi menunaikan ibadat qurban atau aqiqah dengan harga yang berpatutan untuk diberikan kepada umat Islam yang kurang bernasib baik dan tertindas di negara lain.

Perjalanan misi ini telah membawa saya ke Sudan, Jordan, India, Sri Lanka, Uganda, Bangladesh, Nepal dan Vietnam. Peluang bertemu saudara seagama dari pelbagai ras dan etnik yang bertutur dalam pelbagai bahasa dan mempunyai warna kulit yang berlainan dengan bangsa sendiri menambahkan keyakinan bahawasanya, hanya manusia yang bertaqwa sahajalah yang akan dimuliakan disisi Allah s.w.t di dunia mahupun di akhirat.

Kesusahan dan penderitaan yang dihadapi oleh mereka, mengingatkan saya betapa bersyukurnya dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangya kita umat Islam di Malaysia turut menyatakan rasa kebersamaan kita dengan mereka walaupun hanya setahun sekali dengan membantu mereka melalui ibadah qurban dan aqiqah. Semoga ini dapat membantu umat Islam Malaysia dalam melaksanakan perintah dari Nya.

Semoga Allah menerima amal ibadat kita di bulan Zulhijjah ini.

Nota: Artikel ini ditulis pada 20 Ogos 2018, sejurus sebelum penulis berangkat ke Misi Qurban & Aqiqah 2018/1439H di Kashmir, India.

 

Disediakan oleh:

Nur Adyani Mohamed, Penolong Pengarah Kanan ( Unit Pembangunan Wanita) di Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita Kerajaan Negeri Kelantan. Penulis merupakan Naib Pengerusi III dalam Yayasan Amal Malaysia dan aktif dalam menyertai misi kemanusian Qurban dan Aqiqah di pelbagai negara. Penulis boleh dihubungi diĀ https://www.facebook.com/ciklongyani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *